Tuesday 12 August 2008

Dr.Burhanuddin Al-Helmi

Dr Burhanuddin Al Helmi dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911, dan meninggal dunia di Taiping pada 25 Oktober 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di Belirang Ulu Bakap dan Kota Bharu Perak. Kemudian beliau mengaji agama di Tanah Datar Sumatera Barat, Jitra Kedah dan Madrasah Al Masyhur Pulau Pinang. Beliau mendapat gelaran "Doktor" selepas mengikuti bidang Homeophati di India.

Beliau dikenali sebagai pejuang kebangsaan yang gigih. Beliau menyertai KMM pada tahun 1939. Beliau pernah bekerja dengan pihak Jepun di Taiping. Selepas Perang Dunia Ke 2, beliau memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), selepas mengambil alihnya daripada Mukhtaruddin Lasso. PKMM juga menentang perlaksanaan Malayan Union melalui penyertaannya dalam UMNO. Akhirnya KPMM keluar dari UMNO untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Seterusnya pari-parti Melayu yang dianggap kiri menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat), pimpinan Dr Burhanuddin bergabung dengan AMCJA (All Malayan Council of Joint Action) yang di ketuai oleh Tan Cheng Lock, menggagaskan 10 Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Beliau juga pernah menganjurkan beberapa persatuan untuk kemajuan umat Islam seperti PEPERMAS (Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya), LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat) dan MATA (Majlis Agama Tertinggi) di Gunong Semanggol, Perak. Beliau pernah bertemu dengan Sukarno dan Hatta di Taiping pada tahun 1945.

Bagaimanapun, Dr Burhanuddin telah ditangkap berikutan pengisytiharan darurat pada tahun 1948. Tema idealisme politik beliau yang utama ialah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya. (Lihat Salina Hj Hassan, "Dr Burhanuddin Al Helmy,1911 - 1969" , JEBAT, Bil 14, 1986. dan Kamaruddin Jaafar, Dr Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam, Yayasan Anda, Kuala Lumpur, 1980)

PERJUANGAN DR BURHANUDDIN AL HELMI

Dr Burhanuddin merupakan pejuang kemerdekaan yang sangat dibenci penjajah British, telah meringkuk di dalam tahanan kerana memperjuangkan kemerdekaan dan menghalau British dari Tanah Melayu.

perjuangan menuntut kemerdekaan bermula setelah jatuhnya Melaka ke tangan Benggali Portugis pada tahun 1511 dan kemudiannya disambung oleh penjajah Belanda, penjajah British dan penjajah Jepun. Penjajahan yang lama telah berjaya mengwujudkan jiwa hamba pada penduduk Tanah Melayu. Penjajah dipandang sangat perkasa dan berkuasa.

Penentangan terhadap penjajah British bermula dengan tersungkurnya JWW Birch di Pasir Salak, di tangan Si Putum. Perjuangan Dato' Maharaja Lela, telah berjaya membuktikan kepada orang Melayu bahawa penjajah British tidak kebal.

Perjuangan Dato' Maharaja Lela di Perak, Hj Abd Rahman Limbung di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Dato' Bahaman, Dol Said dan Mat Kilau , telah mencetuskan bunga-bunga jiwa merdeka kepada orang Melayu. Perjuangan mereka di teruskan oleh KMM, PKMM dan diakhiri dengan turunnya bendera union Jack pada 31 Ogos, 1957.

Di bawah ini adalah merupakan bait-bait kata yang dilafazkan oleh dr Burhanuddin Al-Helmi....

"...Di atas robohan kota melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka...."


Bait keramat yang lebih tinggi dari sajak ini dilafazkan ketika kongres kebangsaan ke-2 PKMM yang diadakan di Melaka.

No comments: