Tuesday 12 August 2008

Dr.Burhanuddin Al-Helmi

Dr Burhanuddin Al Helmi dilahirkan di Changkat Tualang, Perak pada 29 Ogos 1911, dan meninggal dunia di Taiping pada 25 Oktober 1969. Beliau mendapat pendidikan awal di Belirang Ulu Bakap dan Kota Bharu Perak. Kemudian beliau mengaji agama di Tanah Datar Sumatera Barat, Jitra Kedah dan Madrasah Al Masyhur Pulau Pinang. Beliau mendapat gelaran "Doktor" selepas mengikuti bidang Homeophati di India.

Beliau dikenali sebagai pejuang kebangsaan yang gigih. Beliau menyertai KMM pada tahun 1939. Beliau pernah bekerja dengan pihak Jepun di Taiping. Selepas Perang Dunia Ke 2, beliau memimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), selepas mengambil alihnya daripada Mukhtaruddin Lasso. PKMM juga menentang perlaksanaan Malayan Union melalui penyertaannya dalam UMNO. Akhirnya KPMM keluar dari UMNO untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Seterusnya pari-parti Melayu yang dianggap kiri menubuhkan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat), pimpinan Dr Burhanuddin bergabung dengan AMCJA (All Malayan Council of Joint Action) yang di ketuai oleh Tan Cheng Lock, menggagaskan 10 Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947. Beliau juga pernah menganjurkan beberapa persatuan untuk kemajuan umat Islam seperti PEPERMAS (Pusat Perekonomian Melayu Se Malaya), LEPIR (Lembaga Pendidikan Rakyat) dan MATA (Majlis Agama Tertinggi) di Gunong Semanggol, Perak. Beliau pernah bertemu dengan Sukarno dan Hatta di Taiping pada tahun 1945.

Bagaimanapun, Dr Burhanuddin telah ditangkap berikutan pengisytiharan darurat pada tahun 1948. Tema idealisme politik beliau yang utama ialah Kebangsaan Melayu, Hak Ketuanan Melayu dan Melayu Raya. (Lihat Salina Hj Hassan, "Dr Burhanuddin Al Helmy,1911 - 1969" , JEBAT, Bil 14, 1986. dan Kamaruddin Jaafar, Dr Burhanuddin Al Helmy: Politik Melayu dan Islam, Yayasan Anda, Kuala Lumpur, 1980)

PERJUANGAN DR BURHANUDDIN AL HELMI

Dr Burhanuddin merupakan pejuang kemerdekaan yang sangat dibenci penjajah British, telah meringkuk di dalam tahanan kerana memperjuangkan kemerdekaan dan menghalau British dari Tanah Melayu.

perjuangan menuntut kemerdekaan bermula setelah jatuhnya Melaka ke tangan Benggali Portugis pada tahun 1511 dan kemudiannya disambung oleh penjajah Belanda, penjajah British dan penjajah Jepun. Penjajahan yang lama telah berjaya mengwujudkan jiwa hamba pada penduduk Tanah Melayu. Penjajah dipandang sangat perkasa dan berkuasa.

Penentangan terhadap penjajah British bermula dengan tersungkurnya JWW Birch di Pasir Salak, di tangan Si Putum. Perjuangan Dato' Maharaja Lela, telah berjaya membuktikan kepada orang Melayu bahawa penjajah British tidak kebal.

Perjuangan Dato' Maharaja Lela di Perak, Hj Abd Rahman Limbung di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan, Dato' Bahaman, Dol Said dan Mat Kilau , telah mencetuskan bunga-bunga jiwa merdeka kepada orang Melayu. Perjuangan mereka di teruskan oleh KMM, PKMM dan diakhiri dengan turunnya bendera union Jack pada 31 Ogos, 1957.

Di bawah ini adalah merupakan bait-bait kata yang dilafazkan oleh dr Burhanuddin Al-Helmi....

"...Di atas robohan kota melaka,
Kita dirikan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka...."


Bait keramat yang lebih tinggi dari sajak ini dilafazkan ketika kongres kebangsaan ke-2 PKMM yang diadakan di Melaka.

Monday 11 August 2008

Tunku Abdul Rahman


Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Kerjaya Politik


Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.

Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.


Laluan ke kemerdekaan

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Kegiatan Islam

Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.

Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.

Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.

Garis masa
  • 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
  • 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.
  • 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
  • 1919 (umur 16): Belajar di England.
  • 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
  • 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu
  • 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
  • 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
  • 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
  • 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
  • 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
  • 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
  • 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
  • 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
  • 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
  • 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Tunku Abdul Rahman
pada tahun-tahun akhirnya (gambar)
  • 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
  • 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajia
  • 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
  • 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
  • 1946: Menyertai UMNO.
  • 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.
  • 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
  • 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
  • 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
  • 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.
  • 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).
  • 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
  • 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
  • 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
  • 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
  • 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
  • 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
  • 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).
  • 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.